Aku nak update awal awal kat Internet cafe, tapi sebab ada problem ngan PC kat sana...ampeh ler jadik. Hampir naya aku story aku da taip nak hantar ke opis pakai email pun hampir ilang.
Anyway....sempat lepas lepak minum ngan kengkawan semua, scan kan pics officially released by Astro tuk tempek kat sini.
Dan inilah senarai tenaga pengajar Akademi Fantasia sesi keempat!
Sesuai ke tidak sebenarnya, apa yang tertulis dibawah cuma pemerhatian saya, don't take it too seriously (except bab mamat yang jadi nutrition expert tuh).
Selagi meka tak menyandang tugas yang diamanahkan....tidak ada cara untuk menentukan samaada mereka betul-betul 'layak' atau tidak.
Ok ler...korang layan ler dulu...
By the way...sesapa yang dah dapat surprise dan layak untuk masuk ke Akademi, email ler aku at auzin@hotmail.com dan cerita sedikit sebanyak camna dan bagaimana ia berlaku.
Sesapa yang tahu kengkawan ke sedara mara yang dapat...email ler sekali ek!
PENGETUA - RAMLI SARIP
Tidak banyak lari jangkaan ramai pihak, Ramli Sarip menjadi orang keempat memegang jawatan pengetua untuk Akademi Fantasia selepas Freddie Fernandez, Ramli MS dan M. Nasir.
Kredibiliti Papa Rock yang dah menjangkau usia 55 tahun memang tak boleh disangkal
Mencatat sejarah sebagai tulang belakang kumpulan rock yang mencatat sejarah pada lewat 70an, iaitu Sweet Charity, Ramli Sarip mempunyai senarai pencapaian yang memang boleh dibanggakan sejak penglibatannya dalam tahun 1969.
Penerima Anugerah Kecemerlangan Artistik 1998.
Composers and Authors Society of Singapore (COMPASS) ini masih aktif dengan kerjaya solo yang bermula pada tahun 1985.
Versatiliti Ramli dalam bidang muzik terbukti dari segala jenis irama yang diperjuangkannya selain rock, seperti pop etnik dan irama tradisional serta lagu-lasu dakwah. Kebolehannya untuk menulis lirik puitis juga membuktikan bakatnya yang sudah lama diakui.
Selama lebih 35 tahun bergelar anak seni, Ramli Sarip telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah termasuk : anugerah Artis Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2003 dan Anugerah Khas Anugerah Planet Muzik 2005.
Dalam koleksinya juga adalah 10 anugerah platinum dan 12 anugerah emas yang dicapai untuk jualan albumnya.
Penglibatannya dalam acara seni bertaraf antarabangsa termasuk World of Music, Art and Dance 2000 (WOMAD), Rainforest World Music Festival, Rentak Asia, Langkawi International Festival of Arts 2000 (LIFA) dan Asian Rock Concert 2003.
Menjawat kedudukan tinggi dalam organisasi Akademi Fantasia sebagai pengetua, Ramli akan menentukan sebarang kebanyakan keputusan dalam pengurusan hal ehwal Akademi.
Adakah Papa Rock calon yang sesuai sebagai pengetua Akademi? Kalau dilihatkan pada faktor umur, dan juga irama yang diperjuangkan, mungkin ada sedikit kerisauan yang timbul mengenai keserasian abang Ramli dalam jawatan ini.
Masa akan menentukan.
GURU PERSEMBAHAN VOKAL - MOHD. FAIZAL MAAS (AJAI)
Ramai yang memang tahu Ajai memulakan kerjaya seninya bersama kumpulan Exist dan telah menghasilkan sejumlah empat buah album.
Penglibatannya dalam industri muzik merancakkan senario dengan terhasilnya empat buah album duet bersama isterinya Nurul sehingga kini.
Pencapaian terbaik jualan albumnya adalah apabila album Exist mencatatkan jualan melebihi 250,000 unit pada tahun 1991 dan juga untuk tahun 1993.
Ajai pernah memenangi beberapa anugerah dalam Anugerah Industri Muzik dalam pelbagai kategori antaranya Lagu Terbaik AIM 99, Album Terbaik 2003, Lagu Terbaik 2004, Album Pop Terbaik 2004 dan Album Terbaik 2004.
Selain daripada itu, Ajai juga pernah memenangi Anugerah Juara Lagu untuk kategori Balada untuk tahun 2000 dan 2001 dan Juara Lagu pada tahun 2003 serta beberapa Anugerah ERA dan APM.
Pengiktirafan terkini yang dicapai adalah apabila dijemput untuk menduduki kerusi sebagai anggota juri di Anugerah Juara Lagu 2005.
Antara lagu popular ciptaannya ialah Aku Cinta Aku Rindu, Hati Ini Telah Dilukai, Percayalah, Selagi Ada dan Kesetiaan selain banyak lagi irama dan lagu yang menjadi siulan ramai.
Tugas Ajai adalah sebagai guru persembahan vokal adalah untuk membimbing para pelajar dalam mendapatkan lenggok suara yang betul di samping membantu mereka mengenali identiti nyanyian tersendiri tanpa mengikut penyanyi sedia ada.
Ajai menggantikan Adnan Abu Hassan dalam jawatan ini, dan rasanya tiada calon yang lebih layak menduduki posisi ini.
Cuma kerisauan yang mungkin timbul...adakah selama ini hampir semua finalis membawa lagu ciptaan Adnan Abu Hassan, adakah tahun ini kami akan dibanjiri ciptaan Ajai sahaja?
GURU VOKAL TEKNIKAL - SYAFIZAWATI SHARIF
Tak banyak diketahui mengenai Syafizawati selain biodata yang disediakan.
Al-kisahnya, mengikut penerangan yang disediakan pihak Astro, dia menerima pendidikan asas dalam bidang muzik sejak di bangku sekolah lagi.
Adakah ini bermaksud dia main recorder seperti kami juga ketika dalam sekolah rendah?
Syafizawati menjalankan pengajian di Akademi Seni Kebangsaan dan telah lulus dengan cemerlang Diploma Seni Muzik (Major Vokal dan Susunan) pada tahun 2001.
Dia memiliki Gred 8 Vokal (ABRSM) pada tahun 2000 dari UK, Gred 8 Piano dan Gred 8 Teori Muzik dari institusi yang sama di United Kingdom.
Menjurus lebih kepada Latihan Vokal, Piano, Teori Muzik/Susunan Harmoni/Sebutan Lirik (Bahasa German, Itali dan Perancis) dan Latihan Koir, dia pernah menyumbangkan suara untuk Konsert Sharifah Aini, Teater Rubiah, album Sheila Majid dan persembahan bangsawan.
Selain daripada itu, dia juga turut menyumbangkan ilmu muziknya bersama Classicomm Vocal Center dan Kementerian Pendidikan serta jurulatih vokal untuk Nurul, Rabbani dan Amy Mastura.
Tugas Syafizwati adalah untuk membantu dan melatih pelajar dalam memahami dan memperbetulkan aspek teknikal ketika menyanyi seperti teknik pernafasan, lontaran suara dan penyesuaian nada suara dalam melakukan persembahan.
Adakah dia sesuai untuk menggantikan Siti Hajar?
Persoalan yang susah dijawab.
Bagaimana watak anak kepada Allayarham M. Sharif ketika berhadapan dengan kamera?
Memandangkan dia adalah 'orang baru', Syafizawati mempunyai tugas tamabahan untuk menambat hati penonton dan membuktikan dirinya lebih dari seorang penyanyi latar seperti yang dinyatakan biodatanya.
GURU SENI TARI - LINDA JASMINE
Sebelum apa-apa, saya ingin membetulkan nama jawatan ini. Walaupun perkataan koreografi sering digunakan, saya rasa lebih senang dengan istilah seni tari atau pereka tari kerana perkataan saduran itu tidak wujud.
Walauapapun, tugas Linda lebih kepada mengajar seni tari daripada rekatari kerana mengikut musim-musim Akademi Fantasia yang lepas, tugasnya lebih kepada membentuk pelajar-pelajar menghayati ilmu tarian.
Sudah pun tiga musim Linda bersama Akademi Fantasia. Tiga musim dimana bukan sahaja bakatnya jelas terserlah. Namanya melonjak naik bersama sebagai guru seni tari dan sememangnya tiada pilihan selain daripada Linda untuk jawatan ini.
Linda menamatkan pengajian dalam bidang tarian ballet klasik, moden dan tarian 'tap' dari Royal Academy of Dance (RAD) di England dan merupakan seorang yang berpengalaman luas mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.
Wajah kacukan beliau juga sering menjadi penghias iklan-iklan komersil dan juga penghias muka depan majalah-majalah popular tempatan seperti Glam, Radiance, Mingguan Wanita, Rapi dan sebagainya.
Mungkin ramai tidak tahu, tapi Linda juga pernah muncul dalam 'music video' beberapa artis antarabangsa.
Kini, bersama juara Akademi Fantasia musim pertama, Vince serta kakaknya, Vanessa dan seorang lagi pelabur, Linda menaburkan pengalamannya untuk generasi baru dengan membuka Linda Jasmine Performing Arts Studio yang mengendalikan kelas-kelas tarian, vokal dan drama.
Selain mengajar pelajar asas gerakan tarian, Linda juga akan bertanggungjawab membantu pelajar untuk melakukan persembahan di khayalak ramai.
Perlu ke aku nak nyatakan samaada Linda atau tidak?
"5....6...7....8!!!"
GURU REKATARI - CORRIE LEE
Memang kita semua patut bersyukurlah yang Corrie kembali juga ke Akademi Fantasia selepas semusim terpaksa kami hadapi penggantinya Cikgu Fathee yang kononnya dikenali sebagai Cikgu EE walaupun lebih sinonim dengan nama Cikgu EF atau Cikgu Enter Frame kenapa menjadi pak sibuk di mana saja.
Selepas kritikan yang gaya tarian Linda Jasmine terlampau 'seksi' dalam musim pertama, perubahan drastik dilakukan dimana aksi-aksi 'melayang' dan mengangkat ketika persembahan tarian terpaksa dikurangkan, ramai yang sangkakan tarian yang mengiringi persembahan para pelajar akan membosankan.
Walaubagaimanapun, penglibatan Corrie memberikan nafas baru dalam Akademi Fantasia musim kedua.
Corrie Lee memiliki 15 tahun pengalaman dalam bidang tarian bermula dengan kemenangannya dalam Peter Stuyvesant Dance Competition pada tahun 1995.
Pada tahun 1999, dia memenagi Big 2 World Dance Championship di Filipina.
Antara hasil kerjanya yang mungkin anda ingat adalah iringan persembahan artis-artis tempatan dan luar negara seperti di Konsert Ziana Zain On The Park, Konsert Anita Sarawak Bukit Jalil, Konsert Jordan Sam dan Konsert Jeffery Chang.
Selain daripada itu, Corrie pernah menjadi gurutari peribadi kepada Ziana Zain, Farah, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah.
Kerjayanya dalam bidang seni bukan sahaja setakat dalam bidang senitari, tapi dia juga dikenali sebagai seorang pelakon yang kerap muncul di dalam drama TV dan filem.
Antaranya Seriau, Spinning Gasing, Paloh, Siti Loan Shark, Gerak Khas The Movie 3, Kisah Abang dan Di Luar Bukan Syurga. Mukanya juga senang di cam daripada iklan-iklan seperti Palmolive, Yamaha SS2 dan yang paling popular sebagai The Crook dalam iklan membanteras cetak rompak.
Selain mengajar pelajar asas gerakan tarian, Corrie akan bertanggungjawab membantu pelajar untuk melakukan persembahan di khayalak ramai.
Astro memang bijak dalam memanggil kembali Corrie setelah ramai peminat siri Akademi Fantasia meluat dengan tarian yang tidak bersemangat dan tenaga pengajar yang lebih drama daripada pelajar.
GURU DRAMA - FAUZIAH NAWI
Perlantikan Fauziah Nawi, atau Umi untuk kembali ke Akademi Fantasia sebagai guru drama memang antara keputusan yang paling memuaskan sekali.
Walaupun penggantinya musim lepas Marlia Musa mempunyai perwatakan yang menarik juga untuk menghidupkan Akademi Fantasia, sifat keibuan Umi yang tegas tapi penyayang, sudah lama menjadi sebahagian kehidupan harian Akademi Fantasia yang dirindui.
Fauziah Nawi telah memulakan karier beliau sebagai Juruhebah Radio di RTM dan telah dianugerahkan The Most Versatile Broadcaster RTM.
Dia merupakan pengasas Sanggar Teater Fauziah Nawi (STEFANI).
Antara teater arahannya termasuk Dari Bintang Ke Bintang 1 dan 2, Opera Ayu Cendana dan Muzikal Tok Rimau.
Dia juga turut melibatkan diri sebagai pengarah drama TV seperti Baju Pengantin Kak Long dan Tangan Bapak.
Mungkin dia lebih dikenali ramai sebagai pelakon air mata dalam drama Pondok Buruk 1 dan 2, Rumah Di Tengah Sawah dan filem Sayang Salmah.
Filem terkini Umi ialah Diva, Chermin, Red Kebaya dan Qabil Khushie Qabil Agam yang bakal ditayangkan.
Umi juga merupakan pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia untuk filem Sayang Salmah dan Anugerah Seri Angkasa untuk drama Mendung Tidak Berarak Lagi, tugasnya dalam Akademi adalah untuk membantu pelajar dalam pengurusan dan penguasaan pentas di dalam setiap persembahan.
Selain daripada itu, dia juga akan membantu pelajar mendalami dan menghayati serta cara-cara penguasaan emosi dan pembinaan watak.
Lagi satu perlantikan yang bijak dan dipersetujui. Jarang ditemui seseorang dengan perwatakan yang sesuai untuk muncul di kaca TV dan kelihatan begitu bersahaja dan tidak 'plastik'.
PENGARAH MUZIK & GURU MUZIK - SHAMRIL MOHAMED SALLEH (SHAM KAMIKAZE)
Mak aih! Panjangnya nama sebenar si Sham ni!
Bermula sebagai pemain gitar utama kumpulan Kamikaze (itu yang terbawa sampai nama pun Sham Kamikaze), dia pernah menghasilkan tiga buah album iaitu Kontroversi, Inspirasi dan 3 bersama Kamikaze.
Pada peringkat Anugerah Industri Muzik, Sham pernah mencapai pengiktirafan yang diidamkan apabila album Kontroversi memenangi Anugerah Album Rock Terbaik di AIM 2001.
Anak didik maestro terkenal, tak lain tak bukan, Ramli MS, dia kerap mengiringi persembahan artis-artis ternama seperti Siti Nurhaliza, Misha Omar, Syafinaz dan bintang Akademi Fantasia baik di pertunjukan dan perembahan terbuka atau pun di stesen-stesen TV.
Dia juga mencurahkan pengalaman muziknya di Akademi Seni Kebangsaan.
Antara tugasan yang pernah di pikulnya termasuklah sebagai Pengarah Muzik untuk program konsert terbitan Astro iaitu Dari Studio Satu, Anugerah Seri Angkasa 2006, Konsert Misi Suara Hati dan Konsert Akhir AF3.
Sham merupakan jurucakap untuk gitar jenama Fender dan pernah tampil dalam program kanak-kanak terbitan Astro RIA, Kak Awin & QT serta Gitulah Raya.
Tugas Sham adalah untuk membantu pelajar dalam pengurusan dan penguasaan pentas di dalam setiap persembahan.
Permintaan untuk musim ini satu sahaja. Biarlah Sham lebih terlibat disebalik tabir, kerana wataknya terlampau 'monotonous' dan tidak begitu mewarnai diari harian.
Kadang-kadang, apabila dilihat, ada juga persamaan dari segi 'on-camera' persona dia dengan Cikgu EF, walaupun tidak sampai ke tahap kritikal seperti itu.
Walauapapun, memang Sham adalah calon terbaik untuk jawatan ini juga, dan memantapkan lagi senarai tenaga pengajar untuk musim ini.
Tapi...bukan ke Sham nak kahwin tahun ni?
Sempat ke dengan kesibukan Akademi Fantasia? Ke cari duit lebih untuk tu....
PERUNDING MOTIVASI - DR FAZLEY YAAKOB
Sebenarnya, aku memang ragu dengan kebolehan Fazley untuk memegang jawatan ini.
Tapi hanya atas dasar kekeliruan yang mungkin timbul. Harapan aku, Fazley sedar tanggangjawab dia dalam Akademi adalah sebagai perunding motivasi, dan dia tidak akan keliru dengan status dia sebagai artis.
Takutnya, nanti penonton asyik disajikan dengan nasihat nasihat yang berdasarkan pengalaman dia, yang sebenarnya, tidak seberapa ramai lagi dalam industri muzik ni
Walaubagaimanapun, daripada segi kelayakan lain, Fazley nampaknya akan lebih berjaya daripada mereka yang pernah menyandang jawatan ini kerana dia mempunyai bonus perwatakan dia yang ceria, walaupun kekadang pendiam, faktor umur yang tidak sebegitu jawa daripada purata umur pelajar-pelajar Akademi Fantasia secara amnya, dan juga kelayakan yang membanggakan.
Apapun, rasanya tak adalah seburuk Dr Love tahun lepas. Tajuk albumnya : Where is the love? Asyik gaduh saja dalam Akademi. Yang pasangan bercinta pula bila keluar cari cinta tempat lain...
Apapun, kembali pada Fazley. Dia memegang Ijazah Doktor Pengurusan Perniagaan dari European Business School UK dan kini sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang di University of London.
Fazley merupakan Naib Presiden dan Pengarah Eksekutif Putra World Trade Centre, Pengarah Eksekutif Fazley International College dan Pengarah Urusan Seri Anjangsari Production Sdn. Bhd.
Dia melaksanakan kerja-kerja motivasi beliau di seluruh negara untuk pelajar sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti dari tahun 1997 hingga sekarang. Dia juga mempunyai ruangan motivasi bersama Dr.Fazley di dalam majalah E-Baca dan Mangga serta dalam proses menyiapkan sebuah buku motivasi remaja.
Dalam bidang hiburan, dia telah menghasilkan tiga buah album dan telah berlakon dalam tiga buah filem.
Turut menjadi tunggak kepada kejayaan Siti Nurhaliza In Concert at the Royal Albert Hall London, sebuah konsert bersejarah buat industri muzik Malaysia dia pernah diianugerahkan gelaran Belia Cemerlang Negara pada tahun 2004.
Tugas Fazley didalam Akademi adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar AF dari segi mental & fizikal.
Dia juga bertanggungjawab memberi keyakinan dan kata perangsang apabila pelajar menghadapi masalah selain mengendalikan kelas bahasa Inggeris menggantikan tugas Cikgu Fatimah Abu Bakar. Bab ini je yang berat sikit nak sebut, kerana Cikgu Fati yang selama ini juga pegang peranan penasihat pelajar, hilang daripada senarai.
PENASIHAT PEMAKANAN & KECERGASAN - KEVIN ZAHRI
Sebelum saya memulakan debat kenapa perlunya wujud jawatan baru ini...ini sedikit maklumat mengenai Kevin.
Mendapat pendidikan dari Northeastern University Boston dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan Ekonomi, dia merupakan Pengasas kepada Maxtrition SB iaitu sebuah syarikat yang menawarkan produk kecergasan dan pemakanan serta servis kepada pengguna dan syarikat korporat di Malaysia.
Kevin merupakan Penulis Kesihatan dan Kecergasan untuk Men's Health dan Majalah UMPH.
Selain daripada itu, dia juga merupakan hos rancangan "Gaya Hidup Sihat" di TV2. Beliau kini bertugas sebagai Ketua Web dan Multimedia di Proton Holdings yang merekabentuk dan membangunkan portal dan aplikasi pembangunan Proton.com.
Tugasnya dalam jawatan yang baru diadakan ini ada lah untuk bertanggungjawab dalam aspek pemakanan dan kecergasan pelajar.
Dia juga akan memastikan dan mengawasi diet pemakanan yang betul dan tahap kecergasan pelajar sentiasa dalam keadaan baik.
Masaalahnya, adakah keperluan untuk seseorang penasihat pemakanan dan kecergasan didalam Akademi?
Seringkali kami dapat lihat, didalam Akademi, pelajar-pelajar tidak didedahkan kepada gaya kehidupan yang akan menepati realiti yang mereka hadapi. Disebabkan itu, pelbagai masaalah wujud selepas laungan kebasan mereka dari Akademi Fantasia.
Tidak diragui, soal pemakanan dan kecergasan memang sesuatu yang perlu dititikberatkan, cuma dalam kehidupan seorang artis, isu keutamaan perlu ditekankan, dan rasanya, ia bukan sesuatu yang penting sehingga mempunyai keperluan untuk mencipta jawatan ini.
Baik lagi kalau Astro mencipta jawatan yang pernah wujud untuk mengajar pelajar-pelajar asas untuk komunikasi memandangkan ramai bekas pelajar lemah dalam soal berhadapan dengan media.
Ataupun daripada segi rundingan imej yang juga penting. Tapi jangan lah bawa balik Mahani Awang yang membosankan tu.
Adakah tujuan Astro sebenarnya hanya untuk membawa 'eye candy' ataupun seseorang untuk menjadi 'perhiasan' di dalam Akademi Fantasia? Jika ya, mereka perlulah mencari yang lebih tampan lagi.
PENGKRITIK TETAP - ADLIN AMAN RAMLIE
Lebih dikenali sebagai Sultan Melaka dalam filem Puteri Gunung Ledang dan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang.
Lebih di cam selepas Akademi Fantasia musim lepas dalam kemunculannya sebagai pengkritik undangan di mana ada yang menggangap kelantangan menyuarakan pendapat sebagai biadap dan tak berisi.
Adlin menggantikan Kudsia Kahar yang tiga musim telah memanaskan kerusi pengkritik tetap. Suatu perubahan yang baik? Belum masanya untuk tentukan.
Sedikit latarbelakang Adlin.
Dia mula berjinak-jinak dengan teater sejak tahun 1994 dan telah membintangi lebih 10 produksi teater.
Adlin banyak berlakon di bawah arahan Krishen Jit, Joe Hasham, Datuk Faridah Merican, Ahmad Yatim, Ahmad Tarmimi Siregar dan Zahim Al-Bakri.
Teater lakonannya termasuk Alang Rentak Seribu dan arahan bersama beliau iaitu Puteri Gunung Ledang The Musical telah mencetuskan fenomena baru dalam dunia teater tanahair apabila dipentaskan dengan jayanya.
Antara kejayaannya kemenangan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Pekan Teater Kuala Lumpur. Berbekalkan pengalaman, dia muncul banyak filem termasuk Paloh, Buai Laju Laju, Jogho, Gangster dan yang terkini, Gubra arahan Yasmin Ahmad.
Tugas Adlin sebagai pengkritik tetap adalah untuk hadirkan diri pada setiap konsert untuk melihat perkembangan pelajar di dalam Akademi Fantasia.
Aspek yang diteliti adalah secara keseluruhan pencapaian pelajar.
Adakah dia sesuai untuk tugasan ini? Kadang-kadang, pandangan yang jujur memang kena, tapi adakalanya komentar yang diberikan seolah hanya untuk menyakitkan hati.
Sebagai pengkritik tetap, dia harus menjalankan tugasnya dengan memantau prestasi setiap pelajar, setiap minggu, dan membuat ulasan berdasarkan pemerhatiannya. Adakah dia mampu?
Seseorang yang berpengalaman seperti Kudsia Kahar pun menghadapi kesukaran untuk memberikan penilaian yang dipersetujui ramai pengkritik bebas diluar, apa lagi Adlin?
Mungkin jika dia tidak 'main-main' ketika menjalankan tugasnya, dia bersesuaian dengan jawatan ini.
PENGACARA - AZNIL NAWAWI
Lari topik seketika.
Buruk sungguh bila orang 'translate' tak betul.
Ada ke panggil dia hos? Ingat apa? Paip getah? Pengacara lah...kan senang?
Kembali ke cerita asal.
Aznil sudah tentunya merupakan antara personaliti TV paling digemari.
Dia memulakan kerjayanya di hadapan kamera pada tahun 1990 sebagai penyampai berita dan wartawan penyiaran TV3.
Aznil melibatkan diri bersama hampir semua stesen tv tempatan.
Pop Kuiz merupakan rancangan hiburan pertama pengacaraan beliau yang menjadi titik permulaan pembabitannya dalam dunia pengacaraan.
Antara tugas pengacaraannya termasuk menjayakan Anugerah Juara Lagu, Anugerah Skrin, APM dan terkini Akademi Fantasia buat musikm keempat.
Aznil menjadi pengacara Melodi terbitan TV3 selama setahun sebelum menandatangani kontrak secara eksklusif bersama Astro pada Oktober 2004 dan dilantik Perunding Kreatif Astro dan Pengacara TV Astro.
Aznil memenangi Anugerah Bintang Popular bagi kategori Pengacara TV Popular tiga tahun berturut-turut sejak 2003, dan juga merupakan pemenang Anugerah Khas Media Hiburan 2004 dan Anugerah Sri Angkasa 2004 bagi kategori Pengacara TV Terbaik.
Kini, menerusi program Macam Macam Aznil, dia telah terpilih sebagai Pengacara TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa 2004. Rancangan itu juga memenangi anugerah Rancangan Hiburan TV Terbaik.
Di Asian Television Award 2005 di Singapura, rancangan tersebut telah terpilih sebagai Rancangan Bual Bicara Terbaik.
Aznil kini kembali untuk mengacarakan Tirai, Diari, Konsert dan Imbasan Akademi Fantasia seperti tahun-tahun sebelum ini.
Sesuai?
Sudah tentu!
0 comments:
Post a Comment